Artikel ini membincangkan kekeliruan seorang profesor sejarah tempatan dalam percubaannya untuk menafikan kajian peranan Hang Tuah sebagai duta, laksamana sekaligus sebagai wakil diplomasi kepada Kesultanan Melaka berdasarkan kajian arkeologi, manuskrip, artifak, rujuksilang dan bukti empirikal yang diketengahkan oleh beberapa profesor dan pakar sejarah seperti Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi, Prof Emeritus Dr Hashim Musa, Prof Datuk Zainal Kling dan lain-lain.
Artikel ini menjelaskan:
1) Mindset menafikan dan menegakkan ego mindset penjajah
2) Bagaimana profesor kangkung terperangkap dalam mindset penjajah
3) Aksi profesor kangkung menafikan ‘Laksamana’ dalam surat kepada Kerajaan Ryukyu itu menyokong premis Hang Tuah
4) Bagaimana profesor kangkung mengatakan perkaitan antara ‘Laksamana’ dan Hang Tuah itu hanya agak-agakan sahaja
5) Bagaimana profesor kangkung menyamakan kajian rujuksilang surat ‘Laksamana’ itu umpama orang yang mengaku keturunan Hang Tuah
6) Aksi profesor kangkung tiba-tiba inginkan perkataan ‘Hang Tuah’ muncul sebiji-sebiji dalam apa jua bukti atau rekod luar
7) Aksi profesor kangkung yang tidak menyedari bahawa panggilan orang luar selalunya tidak sama atau ada perbezaan dari panggilan tempatan (native) terhadap sesuatu perkara.
Selalu diperhatikan, orang-orang yang menentang apa jua penemuan positif dalam sejarah Melayu ini adalah orang-orang yang kononnya saintifik dan empirikal. Orang yang berpandangan bebas, urban dan liberal. Namun itu hanya terpakai dalam perkara-perkara lain, yang anehnya bila sampai ke topik sejarah Melayu, mereka akan bertukar menjadi ‘tahyul’ dan menafikan semua aspek positif kecuali yang negatif atau merendah-rendahkan sejarah Melayu dan orang Melayu itu sendiri.
Ini tidak aneh apabila kerangka pemikiran manusia itu sendiri wujud, dan jika dia dibentuk oleh kerangka pemikiran yang salah, maka produk keluarnya juga salah.
Apabila mereka ini menemui bukti empirikal atau santifik yang menyatakan perkara yang positif dalam sejarah Melayu, maka mereka cepat-cepat mengutuk atau merendah-rendahkannya. Ini kerana ia telah menentang ego mereka, yakni ego yang memahamkan mereka bahawa sejarah Melayu tetap dan sentiasa negatif dan low level.
Ini yang selalu memerangkap golongan ini, walaupun ada di antara mereka adalah bijakpandai, hatta mengaji dalam bidang sejarah pula!
Selagi kerangka pemikiran ini tidak dibebaskan atau kita katakan berfikiran terbuka, maka ia sangatlah sukar untuk diubah.
Sekarang mari lihat contoh seterusnya dalam isu Hang Tuah.
Kekeliruan Profesor
Profesor itu mengatakan silap apabila merujuk ‘Laksamana’ dalam dokumen kerajaan Ryukyu itu sebagai Hang Tuah. Beliau menambah lagi, tiada nama laksamana Melaka diberitahu dalam zaman mana-mana raja oleh pengarang Sulalatus Salatin. Dengan kata lain, nama Hang Tuah tiada disebut merujuk kepada ‘Laksamana’ dalam Sulalatus Salatin.
Ulasan:
Pandangan kedua-dua pensyarah UPM itu bukanlah silap tetapi pandangan yang bijak dan logik kerana Hang Tuah memang jawatannya sebagai ketua angkatan laut atau admiral dengan gelarannya ‘Laksamana’. Lainlah dalam surat itu, penulisnya membahasakan diri sebagai ‘Bendahara’ atau ‘Temenggung’. Jika kedua pensyarah itu berdegil menyatakan ia adalah Hang Tuah maka ini mutlak boleh dipertikaikan.
Untuk perkara kedua, ini satu pembohongan. Sama ada beliau tidak peka, atau tidak membaca Sulalatus Salatin, ataupun, beliau memang sengaja memutarbelit kenyataan.
Perhatikan, dalam Sulalatus Salatin yang diselenggara oleh A, Samad Ahmad ada disebut ketika pemerintahan Sultan Mansur Syah, Hang Tuah mula diambil sebagai orang istana:
Adapun Hang Tuah selama ia di Melaka, tiada lain kerjanya, hanya berguru akan ilmu hulubalang. Barang siapa yang lebih tahunya dimasukinya; adalah kepada zaman itu tiadalah dua orang-orang muda sebagainya.
Adapun “Perhangan” ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, dan Hang Kasturi, dan Hang Lekir, dan Hang Lekiu, dan Hang Ali dan Hang Iskandar, dan Hang Hassan, dan Hang Hussin; dan tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi sembilan dengan Hang Tuah. Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh yang empunya ceritera.
(Sulalatus Salatin)
Bagaimana tiada nama ‘Laksamana’ disebutkan dalam Sulalatus Salatin? Di sini jelas ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, nama Hang Tuah telah mula disebutkan. Namun, mungkin ada orang akan mengatakan Hang Tuah tak disebut sebagai laksamana dalam Sulalatus Salatin. Ini salah besar sebab Sultan Mansur Syah sendiri memanggilnya sebagai ‘Laksamana’. Perhatikan:
Syahadan akan Hang Tuah janganlah dikatakan lagi, pertama rupa dengan sikapnya, cerdik lagi perkasa dengan hikmat-nya, lagi berani, tiada dapat seorang pun menyamainya; dialah sahaja yang lebih daripada yang lain. Apakala ada orang mengamuk dalam Melaka itu, apabila tiada terkembari oleh orang yang lain, maka Hang Tuahlah dititahkan Sultan mengembari dia. Diceriterakan orang yang empunya ceritera selama Hang Tuah dalam Melaka itu, ia membunuh orang yang mengamuk tujuh puluh empat orang, barang yang tiada dapat siapa-siapa mengembari dia, maka ialah yang mengembari; demikianlah peri Hang Tuah dalam Melaka. Jikalau ia bergurau sama mudamuda maka disingsingnya tangan bajunya, maka ia memengkis katanya, “Laksamana akan lawanku,” maka jadi disebut-sebutlah namanya oleh samanya muda-muda “Laksamana”. Maka Sultan Mansur Syah pun turut menyebut nama Hang Tuah itu Laksamana.
(Sulalatus Salatin)
Pihak pengkaji sejarah Ryukyu menemui manuskrip yang ditulis oleh seseorang yang membahasakan dirinya sebagai ‘Laksamana’ dan disahkan dari Kesultanan Melaka.
Manuskrip Sulalatus Salatin yang memang menceritakan tentang Kesultanan Melaka mengesahkan bahawa di sana ada seorang admiral yang paling handal. Orang ramai malah raja sendiri menggelarkannya sebagai ‘Laksamana’.
Nama sebenarnya ialah Hang Tuah.
Sungguh mudah. Perkara ini bukan memerlukan pengamiran tahap ke-8 ataupun satu rangkaian formula sains roket. Ia adalah sebuah rujuksilang (cross-reference) yang biasa. Cuma, kalau orang itu bermati-matian tidak mahu menerimanya juga, maka ia akan jadi seperti satu formula sains roket yang dikamir secara bertahap infiniti.
Kesimpulan
Orang yang egonya terperangkap dalam ego para orientalis yang sudah menjadi arwah itu, biasanya akan meminta permintaan yang pelik-pelik. Dalam sejarah Melayu, mereka akan meminta bukti paling tepat setepat-tepatnya dengan pengukuran yang paling terperinci. Namun ini tidak berlaku jika mereka membincangkan sejarah bangsa lain, mereka akan bertukar menjadi makhluk paling bersikap sederhana, liberal dan open-minded.
Jika nama Hang Tuah itu datang dari sumber sini, maka mereka meminta nama ‘Hang Tuah’ itu sebiji-sebiji keluar dalam surat, manuskrip atau prasasti, kalau boleh dengan tulisan yang sama dan sebutan yang sama. Agaknya jika di makmal, mereka akan mengukur panjang dan lebar tulisan ‘Hang Tuah’ itu menggunakan angkup luar dan angkup dalam kemudian cuba dibandingkan dengan mana-mana rujukan lain. Mereka akan masukkan nama ‘Hang Tuah’ dalam kotak ‘Search’ dan menunggu kalau-kalau enjin pencari akan memadankan nama itu dalam pangkalan data semua manuskrip di dunia. Jika tiada maka, sah Hang Tuah adalah fiksyen sebagaimana filem Star Wars.
Bertuahnya kajian sejarah bukan semudah itu. Kajian sejarah yang formal memerlukan banyak rujuksilang, perbincangan dan analisis antropologi, arkeologi, politik dan sebagainya.
Nasib baiklah sejarah Srivijaya, dikaji oleh pelbagai sarjana dunia. Nama Srivijaya itu sendiri tidak muncul sebiji-sebiji dalam pelbagai rekod namun berdasarkan garismasa, budaya, arkeologi, rujuksilang dalam pelbagai rekod dan analisis antropologi maka para sarjana bersepakat sebuah empayar perdagangan telah wujud suatu ketika dahulu dan amat berpengaruh dalam sejarah Asia Tenggara selama lebih 6 abad.
Nama ‘Srivijaya’ itu sendiri ditulis dalam sebuah prasasti menggunakan bahasa Melayu kuno. Namun dalam pelbagai rekod dunia ia tidak disebut sebiji-sebiji sebagai ‘Srivijaya‘ namun dengan pelbagai gelaran, ia muncul sebagai Shih-li-fo-shih atau San-fo-ch’i dalam rekod China, Sribhoja dalam rekod Yi Jing, Zabag dalam rekod Arab, Sabag dalam rekod Parsi, Siwichai dalam rekod Siam dan Malayu dalam rekod Khmer dan Jawa.
Troy, hanya muncul dalam epik-epik Greek, yang paling terkenal dalam Iliad dan The Odyssey dan kisah Perang Trojan itu sendiri hanya popular dalam Mitologi Greek! Namun apabila sepasukan ahli arkeologi dan sejarahwan menemui tapak sejarah di Hissarlik di Turki kini, yang mana melalui analisis yang mendalam dalam pelbagai disiplin sejarah, sarjana bersepakat inilah tapak yang boleh dirujuk sebagai Kota Troy yang disebut-sebut dalam mitos Greek dan epik Homer itu. ‘Ajaib’kan? Nama Troy hanya muncul dalam ‘teks sastera’ Greek, dan tiada dalam mana-mana rekod lain di dunia, tiada rujuksilang pun, namun para sarjana dan ahli akademik luar berfikiran terbuka dan tiada masalah untuk menerimanya sebagai pembuktian kepada penemuan tapak bersejarah itu.
Ini berbeza di Malaysia, waima seorang profesor sejarah sini juga masih menafikan sejarah walaupun sejarah itu jelas disebut dalam manuskrip malah rujuksilangnya muncul pula dalam rekod luar yang jauh dari lokasi asal dan sangat berbeza budaya pula.
Saya akan sambung dalam siri ke-4.
~Srikandi
Memberangsangkan. Hang Tuah satu watak yang benar dan berwibawa. Keturunannya pun masih ada dan ramai di Melaka; malahan berkait pula dengan keturunan ulama-ulama yang berdakwah berpusat di Pulau Besar, Melaka dan seterusnya seantero nusantara. Kepahlawanan, kebijaksanaan, kefahaman dan keilmuan dalam ilmu politik dan diplomasi, agama Islam dan adat Melayu menjadi susuk adiwira dengan kata-kata hikmatnya “Tidak Melayu Hilang Di Dunia” sebagai tokoh yang tiada tolok bandingnya pada zaman keemasan Empayar Melaka. Semoga lahir lagi tokoh seumpamanya pada masa dan akhir zaman ini untuk bergandingan dengan Insan Terpilih yang disebut-sebut dalam Hadis Rasulullah SAW kelak. Mungkin Pemuda Bani Tamim? Wallahuaklam.
mendalam sungguh perinciannya. semoga dipermudahkan urusan kalian untuk terus mencari tinggalan sejarah.