Bapa Boleh Berkahwin Dengan Anak Zinanya? Benarkah Tuduhan Ke Atas Imam Syafie Ini Oleh Sesetengah Agamawan?

zinanak

 

[Mukaddimah]

 

Baru-baru ini, terdapat seorang agamawan tersohor menyatakan bahawa Imam Syafie membenarkan seorang bapa yang berzina berkahwin dengan anak zinanya. Soalannya, benarkah Imam Syafie BENAR-BENAR BERKATA DEMIKIAN secara jelas dan sah? Ini persoalan yang amat berat melibatkan nama seorang imam mazhab fekah Islam yang diiktiraf dan diterima pandangannya dalam usul fiqh Islam.

Perlu ada bukti, asal dan sumbernya. Malangnya sehingga ke hari ini TIADA BUKTI yang menunjukkan Imam Syafie berkata demikian walhal golongan agamawan yang menggelar diri mereka proTAJDID ini selalu mengutamakan matan, asal dan sumber sahih dalam sesuatu perkara malah mereka ini rata-rata belajar hadis malah ada di antara mereka memiliki PhD dalam bidang hadis dan amat teliti dalam mengesan hadis sahih atau tidak melalui para periwayatnya.

 

 

Polemik anak zina dibinkan dengan Abdullah atau bapanya sendiri menjadi hangat di negara kita. Namun mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang permasalahan ini yang disorot dari semua sudut sama ada dari sudut Al-Quran dan Hadis, Maqasid Syariah, pandangan majoriti ulama dan sebagainya.

KLIK sini:

BAYAN LINNAS SIRI KE-106 : ISU PENAMAAN “BIN/BINTI ABDULLAH” KEPADA ANAK TIDAK SAH TARAF OLEH MAHKAMAH RAYUAN

Agamawan seperti Dr. MAZA (Assoc. Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin) dan Dr. Rozaimi Ramle pula berpendapat bahawa anak zina boleh dibinkan dengan nama bapa zinanya. Dr. Rozaimi Ramle menjelaskan ia boleh dibuat namun dengan 2 syarat:

1) Bapa zina mengaku anak hasil perzinaan itu anaknya.

2) Ibu kepada anak hasil perzinaan itu sewaktu bersalinkan anak tersebut, dia bukan isteri orang lain.

 

Rujuk: Dr Rozaimi- Anak Luar Nikah Boleh DiBinkan Dengan Nama Ayahnya 

 

Masalahnya, adakah 2 syarat ini BENAR-BENAR DIJELASKAN DAN TERPAKAI kepada pihak yang memakai fatwa kedua agamawan ini seperti MAHKAMAH RAYUAN?

Adakah Dr. MAZA dan Dr. Rozaimi Ramle sendiri telah datang kepada pihak-pihak yang ingin memakai pandangan mereka dan menjelaskan bahawa fatwa ini boleh terpakai hanya jika 2 syarat ini sabit?

Contohnya bagaimana jika bapa zina tidak mengaku itu anaknya walaupun ujian DNA jelas mengatakan itu anaknya atau ibu kepada anak perzinaan itu sewaktu bersalin adalah isteri orang lain.

Dr. Rozaimi Ramle mengatakan bahawa pandangannya disokong oleh pandangan beberapa ulama seperti Urwah bin Zubair dan Hassan Basri namun bila diperhalusi sebenarnya ADA SYARATNYA TERTENTU sebelum anak itu boleh dibinkan kepada bapa zinanya.

Syaratnya ialah: DITEGAKKAN HUKUM HUDUD DAHULU (SEPERTI SEBATAN ROTAN).

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (w.620H) menyebut: Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan (al-Basri) dan Ibn Sirin berkata: Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh mewarisinya. Berkata Ibrahim (al-Nakhaie): Dinasabkan jika dihukum rotan sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi. Berkata Ishaq: Dinasabkan kepadanya. Ini juga disebut oleh Urwah (bin al-Zubair) dan Sulaiman bin Yasar.

(sumber/bibliografi  boleh didapatkan di sini: muftiwp)

 

 

Syarat Anak Hasil Perzinaan Boleh Dibinkan Kepada Bapanya

 

Di sini jelas bahawa pendapat ulama minoriti itu membenarkan HANYA JIKA setelah hukum hudud dilaksanakan. Jadi Dr. Rozaimi boleh menambahkan 2 lagi syarat seperti pandangan Hassan Basri dan Ibrahim (al-Nakhaie). Ia akan jadi begini:

Syarat Anak Hasil Zina Boleh DiBinkan/Dinasabkan Kepada Bapa Zinanya:

1) Bapa zina mengaku anak hasil perzinaan itu anaknya.

2) Ibu kepada anak hasil perzinaan itu sewaktu bersalinkan anak tersebut, dia bukan isteri orang lain.

3) Ditegakkan hukum hudud dahulu.

4) Memiliki wanita yang disetubuhi.

 

Jika tidak menepati 4 syarat di atas maka anak hasil perzinaan itu tidak boleh dibinkan kepada bapa zina tersebut. Dari sini kita boleh nampak bahawa memang anak hasil perzinaan kena melalui syarat-syarat yang ketat sebelum boleh dibinkan kepada bapa zinanya SEKIRANYA KITA INGIN MENGIKUTI PANDANGAN MINORITI ULAMA DALAM KES INI.

Bukan boleh semudah begitu sahaja.

Masalah yang bakal timbul untuk syarat ketiga, di manakah untuk kita mencari pihak yang boleh menjalankan hukum Hudud ini di negara kita atau di seluruh dunia pada hari ini bagi melepaskan syarat ketiga ini?

Satu lagi masalah, adakah ‘fatwa’ membenarkan anak zina dibinkan dengan ayahnya sendiri bersangkut dengan perkara-perkara lain seperti penjagaan nasab, hukum faraid, wasiat, tuntutan, perwalian & perkahwinan, aurat dan sebagainya? Bagaimana status perkara-perkara bersangkutan ini jika fatwa anak zina boleh dibinkan kepada ayahnya, adakah berubah atau bagaimana?

Perkara-perkara ini adalah amat serius dan bersangkutan dengan hukum fekah yang lain. Ini perlu dipertanyakan oleh umat Islam yang ingin mengambil pandangan baru atau minoriti seperti fatwa-fatwa proTAJDID ini.

Sejak agamawan proTAJDID gemar mengambil pandangan dari Ibnu Taimiyah dan anak muridnya Ibnu Qoyyim yang bermazhab Hanbali (ini menerangkan mengapa pandangan mereka kebanyakannya tidak sama dengan kaedah feqah di sini yang majoriti mengambil pandangan mazhab Syafie) SOALANNYA: Apakah pandangan  mazhab itu sendiri yakni Mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal dalam masalah ini?

Memandangkan sejarah Ibnu Taimiyyah sendiri yang mana tercatat sering dipenjarakan akibat masalah pandangannya dalam bab-bab agama, malah ulama feqah mazhab Hanbali sendiri juga ada yang menentang pandangannya, soalan ini mesti ditanya untuk mendapatkan kebenaran dan pencerahan.

Pandangan mazhab Hanbali sendiri tidak membenarkannya! Lihat:

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (w.620H) menyebut: Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama.

(sumber/bibliografi  boleh didapatkan di sini: muftiwp)

 

Dr. Rozaimi Ramle sendiri mengakui bahawa jumhur ulama atau majoriti ulama tidak membenarkannya sebagaimana di awal video ceramahnya tadi. Rujuk: Dr Rozaimi- Anak Luar Nikah Boleh DiBinkan Dengan Nama Ayahnya 

Pandangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qoyyim juga adakalanya minoriti dalam kalangan ulama mazhab Hanbali sendiri. Kita perlu memaksa Dr. MAZA dan Dr. Rozaimi mengambil pandangan dari ulama mazhab Hanbali yang lain untuk menyokong pandangan kedua-dua tokoh Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qoyyim itu, barulah kukuh dan mantap jika BENAR-BENAR INGIN BERAMAL DENGAN FEKAH MAZHAB HANBALI.

 

 

Imam Syafie Membolehkan Bapa Zina Berkahwin Dengan Anak Zinanya?

 

Ini adalah satu perkara yang kena ditanya. Benarkah ia begitu?

Dr. MAZA dalam status bertarikh 1 Ogos 2017 pula menyatakan dengan jelas bahawa kononnya Mazhab Syafie membolehkan bapa zina berkahwin dengan anak zinanya.

 

maza

 

Mazhab Syafi’e membolehkan bapa zina berkahwin dengan anak zinanya. Demikian tegas Mazhab Syafi’e menafikan hubungan antara anak zina dan bapa zina.

Pandangan membolehkan berkahwin dengan anak zina ini ditolak oleh majoriti ulama. Lojiknya, bagaimana mungkin seseorang berkahwin dengan daging darahnya sendiri. Ini kerana secara biologi, itu merupakan anaknya. Sedangkan syarak mengharamkan perkahwinan hanya kerana susuan, bagaimanakah untuk membolehkan perkahwinan dengan seseorang yang berasal dari benih sendiri.

Sementara Mazhab Syafi’e melihat tiada apa-apa hubungan antara anak dan bapa tersebut. Zina tidak mensabitkan apa-apa. Maka, mereka bagaikan orang asing.

Walaupun pendapat ini dianggap marjuh dan boleh memberi sangkaan yang salah, juga kesan yang membimbangkan terutama dalam masyarakat yang meningkatkan kes-kes zina, namun kita tidak boleh membuat tuduhan buruk kepada mujtahid yang mengeluarkan pandangan ini. Demikian sikap sepatutnya terhadap ijtihad yang datang dari para mujtahid yang muktabar.

Demikian dalam isu muzik, jumhur ulama (majoriti) ke empat-empat mazhab termasuk Mazhab Syafi’e mengharamkan muzik selain duf (kompang). Pendapat yang membenarkan muzik merupakan minoriti. Tidaklah pula kita mendengar ada pihak yang menyatakan bahaya orangramai kerana telah keluar daripada mazhab jumhur. Bahkan yang mendakwa dirinya kukuh memegang mazhab itu pun mendengar muzik dan menonton filem yang bermuzik, juga handphone pun bermuzik. Tidaklah pula dia menghukum dirinya sesat kerana keluar mazhab?!

Ertinya, dalam dunia yang makin rencam dan berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, kita wajar mendengar kepelbagaian pandangan dalam khazanah fekah yang luas. Ia menjadi jalan keluar untuk penyelesaian masalah yang mungkin tidak sama pada zaman yang lepas. Ketaksuban dan kedangkalan menjadikan kita gagal menangani permasalahan yang baru.

(Status Dr. MAZA 1 Ogos 2017 di fanpage)

 

Apakah buktinya Imam Syafie membolehkan bapa zina berkahwin dengan anak zinanya? Sudah tentulah mazhab Syafie mengambil sumber dari pandangan Imam Syafie sendiri? Jadi apa pendirian Imam Syafie dalam soal ini?

Kita mesti menyelidik sendiri pandangan asal Imam Syafie sebelum pergi kepada mana-mana sangkaan atau ulasan. Bukankah agamawan proTAJDID amat sensitif dengan sumber asal sesuatu perkara?

Walaupun kita bukan berlatarbelakangkan agama, namun kita boleh menyelidiki dahulu kebenaran dan meminta sumber.

 

 

Benarkah Imam Syafie Membolehkan?

 

Dalam status bertarikh 2 Ogos 2017, Ustaz Zamihan Al-Ghari telah mencatatkan:

 

Dr MAZA menyatakan Imam Syafie rhm membenarkan bapa zina mengahwini anak zinanya. Katanya sbg membuktikan betapa kerasnya pendapat mazhab al-Syafie tentang tiada nasab antara keduanya.

Tetapi benarkah Imam Syafie rhm membenarkan seorang bapa boleh mengahwini anak hasil perbuatan zinanya?

Sekiranya ya, apakah dalilnya dan adakah ulama mazhab yang lain bersepakat dgn fatwa ni?

FATWA IMAM SYAFIE R.H.A. : KAHWIN ANAK HASIL ZINA

Jumhur Ulama berpendapat seorang penzina tidak boleh mengahwini anak hasil zinanya.

Berkata Imam Syafie rhm.:

“Aku tidak menyukai (makruh dalam warak) baginya berkahwin dengan anak-anak perempuan yang dilahirkan hasil zinanya” (Kitab al-Umm: 5/30)

Sebahagian Ulama mazhab Syafie menjelaskan, Imam Syafie r.h.a. memberikan hukum makruh jika ada kemungkinan anak itu bukan hasil dari benih (nutfah) penzina tersebut. Tetapi jika telah dipastikan benihnya maka haram baginya berkahwin dengan anak itu. (al-Hawi al-Kabir, al-Muhazzab & syarahnya, Mughni al-Muhtaj)

Ini dikuatkan dengan kenyataan Imam Muzani r.h.a. yang merupakan murid kanan Imam al-Syafie r.h.a. selepas membawa kata-kata beliau di atas:

“Dan beliau (Imam al-Syafi) pernah mengingkari kata-kata orang yang membenarkan seorang penzina mengahwini anak hasil zinanya”. (Mukhtasar al-Muzani: 228).

Kesimpulan: Imam Syafie tidak menyukai dan mengingkari pendapat yang membenarkan penzina mengahwini anak hasil zinanya.

Wallahu a’lam

 

Jawapan yang sama boleh kita dapati dalam laman web al-ahkam.net pada tajuk “SJ-13-0339 : Fatwa Imam Syafie: Kahwin Anak Hasil Zina”.

 

Dalam perkara ini kita mesti mendengar dari kedua-dua belah pihak dan menyelidiki dahulu.

Dari sumber di atas, jelas bahawa apa yang Dr. MAZA nyatakan itu adalah agak menyeleweng dari apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh Imam Syafie sendiri. Noktah.

 

 

KESIMPULAN

 

Perkara paling penting atau ‘core‘ dalam masalah ini adalah syarat-syarat khas anak hasil perzinaan boleh dibinkan kepada bapa zinanya. Ya, di sana ada syarat-syarat khas sebelum pandangan ini boleh dilaksanakan. Bukannya semudah menyatakan “boleh anak zina dibinkan dengan bapa zinanya”.

Sebagai agamawan, pakar hadis dan orang yang terlibat dalam fatwa, Dr. MAZA dan Dr. Rozaimi Ramle WAJIB menjelaskan tentang syarat-syarat ini sejelas-jelasnya kepada orang awam. Jika Dr. Rozaimi sebagai contoh tidak mengambil syarat-syarat ini, sekadar menyatakan tujuan mereka hanya untuk menutup aib anak hasil perzinaan ini, maka Dr. Rozaimi dan agamawan sekutunya telah membikin satu pandangan benar-benar segar dan baru yang mana tidak pernah dikemukakan sebelum ini sekalipun ulama-ulama yang membolehkan (dengan syarat) seperti Hassan Basri, Ibnu Sirin, Urwah Bin Zubair dan sebagainya. Malah tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana ulama mazhab Hanbali, mazhab yang selalu dirujuk oleh agamawan proTAJDID terutamanya melalui dua nama ini – Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qoyyim.

 

-Hermit

 

Leave a Reply